Saturday, August 1, 2009

Penaung Majlis Pengakap Terengganu

21 JULAI 2009 - KUALA TERENGGANU : Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dimasyhurkan sebagai Penaung Majlis Pengakap Negeri Terengganu oleh Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh pada majlis khas di Istana Maziah di sini, kelmarin.

Majlis pemasyhuran itu turut disaksikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mokhtar Nong dan Pengerusi Majlis Pengakap negeri, Datuk Abdullah Taib.

Upacara pemasyhuran bermula kira-kira jam 11.30 pagi dengan Shafie mengadap dan membaca watikah pemasyhuran pelantikan Tengku Muhammad Ismail sebagai Penaung Majlis Pengakap Negeri Terengganu dan seterusnya menyembahkan tauliah pelantikan kepada Pemangku Raja.
Acara pemasyhuran kemudian diteruskan dengan Shafie mengadap dan menyembahkan 'Bintang Semangat Padi Perak' kepada Tengku Muhammad Ismail di atas pemasyhuran baginda itu.

Pada majlis berasingan di Kediaman Seri Iman malam kelmarin, Ahmad turut dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Terengganu, manakala Mokhtar sebagai Timbalan Yang Dipertua.

Sementara itu, Shafie ketika ditemui selepas selesai majlis pemasyhuran berkata, pelantikan Tengku Muhammad Ismail sebagai Penaung majlis berkenaan adalah satu penghormatan dan penghargaan kepada Majlis Pengakap Negara.

Beliau berkata, pelantikan baginda diharap dapat memberi inspirasi khususnya kepada golongan muda dan murid sekolah untuk menyertai Persatuan Pengakap. "Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan supaya puteranya dimasyhurkan ke jawatan ini. Dengan pelantikan ini, Pengakap Negara yakin akan mendapat satu suntikan baru terutama bagi golongan muda di peringkat sekolah dan baginda akan menjadi ikon kepada pengakap di seluruh Malaysia.

1 comment:

  1. Salam Pengakap
    Sudah 40 tahun saya tinggalkan SMK Ibrahim Fikri (SMKST)dan Kumpulan 07 Kuala Terengganu.
    Hari ini saya terjumpa blog anda.
    Tahniah!
    Haji Maskun Sarnan
    email : pppnpkkmedia@gmail.com

    ReplyDelete